Tuesday, August 7, 2007
Kicking-off Bulan Ogos: Bulan Blogging Bahasa Melayu

Persoalan kedua ini menimbulkan rasa risau jauh di sudut hati saya. Sebagai pencinta bahasa, saya menganggap bahasa dapat mencerminkan sesuatu budaya dan cara hidup sesebuah komuniti atau masyarakat. Sebagai seorang Melayu, sememangnya terdapat bibit-bibit semangat dalam darah saya (walaupun saya tidak pasti kesahihan penyataan bahawa semangat dapat wujud dalam sistem pengangkutan manusia secara medikalnya) untuk memperjuangkan bahasa ini. Walaupun saya sendiri lebih selesa menggunakan Bahasa Inggeris dan kerapkali "Bahasa Mang-lish" (Malaysian English) serta Bahasa SMS dan segala macam bahasa "Rojak" yang kerap digunakan kini, saya masih merasakan bahawa tindakan kerajaan menukarkan kurikulum sekolah Matematik dan Sains ke dalam Bahasa Inggeris merupakan titik tolak kepada usaha MENJAUHKAN lagi Bahasa Melayu dari menjadi bahasa ilmu. Memang saya akui, Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu banyak membantu pelajar terutamanya dalam transisi sekolah menengah ke pengajian peringkat tinggi. Namun, bukan kebaikan atau prinsip di sebalik tindakan itu yang saya kesalkan tetapi impaknya terhadap usaha membangunkan Bahasa Melayu itu sendiri. Jikalau sudah terpaksa melakukan sedikit usaha untuk beralih bahasa di peringkat pengajian tinggi, maka pelajar, pada pendapat saya, haruslah berbuat demikian, seperti saya dan rakan-rakan setahun serta pelajar-pelajar tahun-tahun sebelum kami. Penyokong-penyokong tindakan ini mungkin boleh menyatakan hujah saya ini tidak menyeluruh dan mengambil kira para pelajar yang kerap dianggap lemah penguasaan Bahasa Inggerisnya seperti para pelajar dari Pantai Timur. Hujah saya adalah mereka inilah yang dapat membantu dalam usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan jikalau Bahasa Inggeris itu dijadikan medium pengajian sains dan matematik di sekolah menengah, maka sejak dari peringkat sekolah lagilah para pelajar yang lemah Bahasa Inggeris akan turut lemah dalam subjek Sains dan Matematik lantas memperbesar perbedaan di antara pelajar yang mahir Bahasa Inggeris hasil pendedahan ibubapa dan rakan dengan mereka yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.
Sebagai penutur fasih Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis, saya merasakan terdapat perbezaan ketara dari segi aplikasi di antara Bahasa Melayu dan bahasa-bahasa ini, yang menyebabkan bahasa-bahasa ini masih dipertahankan oleh penutur-penuturnya (khususnya oleh orang Perancis).
- Perubahan Kerap Undang-undang Bahasa Yang Meletihkan. Sungguh, perjuangan Ungku Aziz dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan salah satu usaha nasionalistik yang paling saya secara peribadinya kagumi, namun terdapat beberapa aspek DBP pada masa kini yang saya rasakan menjadi faktor utama kurangnya penggunaan Bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia. Jikalau bahasa itu menjadi identiti sebuah masyarakat, mengapa perlu kepada perubahan-perubahan tatabahasa yang terlalu kerap. Sebagai pelajar Bahasa Melayu selama 11 tahun, terdapat ketika-ketika yang saya berasa putus asa dengan undang-undang serta peraturan-peraturan yang senantiasa diubah dan ditukar. Saya sehinggakan tertanya adakah ini merupakan salah satu kaedah menjual edisi-edisi cetakan baru produk-produk ilmiah DBP? Memang saya akui tanggapan ini agak ekstrem tetapi sekiranya undang-undang imbuhan men-i dan men-kan sering ditukar setiap edisi Dewan Tatabahasa, setiap seminar Bahasa Melayu yang saya hadiri, setiap kali saya mengambil UPSR, PMR dan SPM, tidak ganjil rasanya tanggapan yang tercetus di kotak minda saya ini. Walaupun Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang secara perbandingannya masih baru dan masih dalam peringkat pembangunan, mengapa tidak dikekalkan dan dibangunkan tatabahasa serta penggunaan bahasa yang digunakan dari dahulu ketika Bahasa Melayu menjadi Lingua franca di zaman kegemilangan Malaya dahulu seperti bahasa-bahasa lain? Sebagai seorang yang bukan-professional dalam bidang bahasa, saya merasakan persoalan ini merupakan persoalan yang sememangnya berasas. Seorang rakan saya berbangsa Jepun juga mudah menggunakan Bahasa Melayu walaupun hanya belajar dari rakannya yang juga berbangsa Jepun yang pernah tinggal di Malaysia. Kalau sudah sememangnya Bahasa Melayu mempunyai kelebihan (mudah sungguh dipelajari dengan sebutan yang serupa dengan ejaan tidak seperti bahasa-bahasa lain), mengapa perlu ditambah-tambah komplikasinya?
- Bahasa Melayu Formal Tidak Sama dengan Bahasa Melayu Komunikasi. Sebelum anda menganggap saya tidak sedia maklum bahawa semua bahasa pun ada bahasa formal dan bahasa jalanan yang digunakan seharian, ingin saya menyangkal pendapat ini terlebih dahulu. Pengalaman menetap di Perancis sememangnya memperkenalkan saya kepada bahasa pertuturan Perancis harian yang digunakan oleh para remaja di sekolah misalnya. Tetapi, apa yang ingin diketengahkan di sini ialah pemerhatian saya membawa saya kepada sebuah deduksi iaitu Kalau French dengan Street French itu bezanya langit dan bumi, BM dengan BM Pasar itu bezanya matahari dan bumi. Saya pasti anda faham apa yang saya maksudkan dengan ayat ini. Contoh terdekat Bahasa Inggeris pun dapat menunjukkan kita betapa pembelajaran Bahasa Inggeris Formal dalam kelas di sekolah dapat sekurang-kurangnya membantu kita memahami artikel-artikel di internet serta rancangan-rancangan TV jika tidak membolehkan kita bertutur Bahasa Inggeris dengan fasih.
- Jadikanlah jarak "matahari-bumi" tu sekurang-kurangnya jarak "bulan-bumi" dan usahalah ke arah jarak "langit-bumi". Antara langkah termasuklah menerima sebutan-sebutan harian, ringkasan bahasa yang digunakan serta tona-tona ekspresi harian sebagai bahasa formal. Langkah ini tentulah, harus dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tidak secara mengejut.
- Berhenti menukar peraturan tatabahasa Bahasa Melayu dan sebaliknya menggunakan sumber-sumber (termasuklah jurubahasa dan pakar-pakar) ke arah meluaskan penggunaan Peribahasa serta perbendaharaan kata moden (contohnya: lamanweb, jaringan internet, pesanan ringkas-PR menggantikan SMS dan Badan Bukan Kerajaan- BBK menggantikan NGO contohnya)
- Pengiklanan dalam bahasa kebangsaan ini di TV dan Radio
- Pelaksanaan undang-undang supaya setiap laman web berdaftar badan bukan kerajaan dan badan-badan korporat kecil dan besar menyediakan versi Bahasa Melayu (tentulah di laman utamanya sebaik sahaja tiba di laman tersebut dan pengguna harus menukar kepada versi Bahasa Inggeris mengikut keinginan seperti laman-laman kerajaan )
- Kempen besar-besaran pengambilan pelajar untuk kursus Bahasa Melayu di Universiti (contohnya menyediakan prospek pekerjaan yang lebih luas daripada guru seperti jurualih bahasa, wakil Pegawai Diplomatik, penulis, menjalankan P&P Bahasa Melayu di universiti dalam bahasa Inggeris, Kantonis, Mandarin dan Tamil)
* This entry was written in support of the campaign by Nicholas Pang of University of Newcastle and Michelle of Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Bulan Ogos: Bulan Blogging dalam Bahasa Melayu in conjunction with the 50th Independence Day of Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments (+add yours?)
lol.
this one kept me in stitches.
*ooops, just reminded tht this is a BM article*
saya boleh bayangkan cik farhana bersungguh-sungguh duduk di hadapan komputer sambil berkerut-kerut memikirkan stuktur bahasa melayu penuh tanpa membosankan orang ramai dan menyisipkan elemen sarkastik di mana -mana bahagian yan difikirkan sesuai.
analogi jarak langit dan bumi serta matahari/bumi adalah satu usaha pembayangan yang sangat-sangat berkesan. syabas atas usaha anda.
saya berbangga dan akan cuba menokong kempen menulis blog dalam bahasa melayu bulan ogos dengan menulis artikel dalam bahasa melayu selepas ini.
Sebuah penulisan yang sangat kritis, baik, merangkumi isu semasa dan memahami kesensitifan isu serta mempunyai nilai-nilai peribadi yang dikaitkan dengan penulis sendiri dan harus dikembangkan sebagai kempen cintai Bahasa Melayu. (komen pendek ini ditulis sambil berpeluh)
Post a Comment